Ucapan Bajet Tahun 2010

 

Embed or link this publication

Description

Ucapan Bajet Tahun 2010

Popular Pages


p. 1

UCAPAN BAJET TAHUN 2010 NEGERI MELAKA Oleh Y.A.B. DATUK SERI HJ. MOHD. ALI BIN MOHD. RUSTAM KETUA MENTERI MELAKA KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2010) DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PADA, ISNIN 9 NOVEMBER 2009 Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Enakmen Perbekalan (2010) 2009 untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi maksud perbelanjaan pengurusan tahun 2010” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN 2. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjat kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, dapat saya membentangkan Bajet 2010 Negeri Melaka di Dewan yang mulia ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka, di atas segala pandangan, tunjuk ajar dan nasihat yang telah diberi bagi memajukan Negeri Melaka. Tuan Yang Terutama Tun telah banyak memberi input-input yang bernas khususnya dalam bidang pelancongan, pendidikan, ekonomi, pembangunan masyarakat dan sosial serta tidak kurang pentingnya dalam bidang agama. Tuan Yang Terutama Tun adalah seorang pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat, kerana sentiasa bersama dengan rakyat berbilang kaum dan sering hadir di majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang diadakan di Melaka dan luar Melaka. Ini amat bersesuaian dengan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang menjadi agenda utama Kerajaan ketika ini. Justeru itu, Kerajaan Negeri sentiasa responsif dan bersikap proaktif terhadap idea-idea serta pandangan bernas dari Tuan Yang Terutama Tun ke arah merealisasikan Melaka Maju 2010.

[close]

p. 2

Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, PRESTASI EKONOMI 3. Ekonomi negara mengalami pertumbuhan yang negatif ekoran situasi economy downturn (dengan izin), pada tahun 2008 yang turut melanda di peringkat global dan serantau. Ia mencatatkan pertumbuhan negatif 6.2 peratus pada suku tahun pertama 2009 berbanding suku tahun keempat 2008 dengan mencatatkan 0.1 peratus. 4. Walaupun ekonomi Negeri Melaka turut terjejas dengan krisis ekonomi global yang melanda, namun beberapa petunjuk ekonomi Melaka masih bertahan dan menunjukkan peningkatan positif bagi tempoh Januari hingga Jun 2009 berbanding 2008. Contohnya, bilangan pelancong meningkat 24.6 peratus iaitu 4.05 juta orang pada 2009 berbanding 3.26 juta orang pada 2008 bagi tempoh Januari-Jun manakala cukai jualan pula meningkat 64.7 peratus dalam tempoh berkenaan. Bagi tempoh Januari-Jun 2009, cukai jualan yang dicatatkan ialah sebanyak 253 juta ringgit berbanding 153.6 juta ringgit bagi tempoh yang sama pada 2008. Kadar inflasi Melaka pula mencatatkan 2.3 peratus lebih rendah berbanding Malaysia 2.5 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. 5. Kadar pengangguran Melaka mencatatkan 2.5 peratus bagi suku tahun pertama 2009, juga lebih rendah berbanding Malaysia 4 peratus. Sekaligus Melaka mencapai tahap guna tenaga penuh apabila ia mencatatkan kadar pengangguran di bawah 4 peratus, mengikut takrif Pertubuhan Buruh Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation International Labor Organization). STRATEGI BAJET 2010 Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 6. Dewan yang mulia ini juga ingin merakamkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kerana berjaya merangka Bajet 2010 yang dibentangkan pada 23 Oktober, 2009. Bajet 2010 yang bertemakan “1MALAYSIA, KEMAKMURAN BERSAMA” telah memfokuskan kepada tiga strategi utama iaitu: Pertama Kedua Ketiga : Memacu Negara Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi; : Memastikan Pembangunan Holistik Dan Mapan; dan : Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat. Melalui Bajet 2010 berjumlah 191.5 bilion ringgit, sebanyak 138.3 bilion ringgit atau 72.2 peratus bagi perbelanjaan mengurus dan 53.2 bilion ringgit atau 27.8 peratus untuk belanja pembangunan. Bajet 2010 boleh disifatkan sebagai bajet rakyat dan bajet terbaik setakat ini kerana ia melibatkan semua sektor yang membabitkan semua lapisan masyarakat pada peringkat akar umbi. Sekali lagi, tahniah kepada YAB Perdana Menteri. 7. Selaras dengan itu, pelaksanaan bajet 2010 Negeri Melaka adalah berasaskan kepada empat strategi utama iaitu: Pertama : Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Dengan Menyediakan

[close]

p. 3

Perkhidmatan Dan Kemudahan Yang Terbaik; Kedua Ketiga Keempat : Merealisasikan Visi Dan Misi Melaka Maju 2010 Berteraskan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; : Memperkukuhkan Lagi Melaka Sebagai Destinasi Pelancongan Terulung; dan : Merevolusikan Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan Untuk Mencapai Prestasi Perkhidmatan Awam Yang Berintegriti Tinggi. STRATEGI PERTAMA: MENINGKATKAN TARAF HIDUP RAKYAT DENGAN MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN DAN KEMUDAHAN YANG TERBAIK Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 8. Agenda bagi meningkatkan taraf hidup rakyat akan sentiasa diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri. Kemiskinan tegar di Negeri Melaka telah berjaya disifarkan pada tahun 2008 iaitu sebelum Melaka diisytiharkan sebagai Negeri Maju pada tahun 2010. Bagi memastikan sifar kemiskinan tegar dapat dipertahankan, program pembasmian kemiskinan sedia ada akan terus dikemas kini dan diberi penambahbaikan. Ini akan membantu rakyat Melaka menjalani kehidupan dengan lebih baik dan tidak kembali menjadi miskin tegar di kemudian hari. Memberi Bantuan Kepada Rakyat 9. Pada tahun 2009, sejumlah 40 juta ringgit telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Sehingga 30 Oktober 2009, sejumlah 31.8 juta ringgit telah disalurkan kepada 14,138 orang. Kerajaan Negeri memberi bantuan berterusan kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada keluarga berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan 720 ringgit sebulan, Orang Kurang Upaya, warga emas, ibu tunggal dan penjaga pesakit kronik. Ini bertujuan memastikan keperluan asas dipenuhi seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka. 10. Bermula bulan September 2009, Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar pada setiap 1 hari bulan. Ini adalah tindakan proaktif Kerajaan Negeri berikutan pengumuman YAB Perdana Menteri supaya bantuan yang dijanjikan sampai ke tangan rakyat pada setiap 1 hari bulan mulai Januari 2010. Pada 1 November 2009, Kerajaan Negeri telah mengambil ketetapan bahawa bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengikut JAPERUN masing-masing.

[close]

p. 4

11. Kerajaan juga mengambil berat dalam aspek meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan ini dengan menyediakan Bantuan Geran Pelancaran bernilai 2,700 ringgit untuk dijadikan modal permulaan perniagaan kecil-kecilan. Bantuan Projek Pembinaan Rumah Rakyat Termiskin (PPRT) melalui Tabung Amanah Kebajikan Negeri Melaka turut disediakan untuk membaiki dan membina rumah kepada mereka yang layak. Sehingga 31 Oktober 2009, sejumlah 7.4 juta ringgit telah disalurkan bagi 795 rumah PPRT. Menyalurkan Bantuan Pendidikan Kepada Pelajar 12. Kerajaan Negeri akan terus menyalurkan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar anak Melaka. Bantuan sejumlah 13.3 juta ringgit pada tahun 2010 akan disalurkan seperti berikut: Pertama: Bantuan Pendidikan Pemberian Biasiswa, Sumbangan Bantuan Persekolahan, Anugerah Pelajar Cemerlang, Bantuan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Bengkel Motivasi Pelajar; Kedua: Pemberian Pinjaman Pendidikan Tinggi, Pinjaman Perubatan Luar Negara, Pinjaman ke Luar Negara bagi pelajar bukan bidang perubatan, Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana; dan Ketiga: Sumbangan tambang kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Islam dan Perubatan di Mesir sebanyak 2 ribu ringgit. Manakala pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Islam di Indonesia diberi tambang sebanyak 1 ribu ringgit. 13. Oleh itu, anak-anak Negeri Melaka sudah tiada alasan lagi untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana dana dan bantuan telah disediakan untuk mereka terus mendapat pendidikan. Kemiskinan bukan lagi halangan untuk minda mereka terus berkembang agar dapat membangunkan ekonomi negeri.

[close]

p. 5

Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Meningkatkan Modal Insan Berkemahiran 14. Kerajaan prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya kos sara hidup yang semakin membebankan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan terus menyediakan bantuan ekonomi dalam bentuk bengkel, kursus, bantuan geran dan peluang pekerjaan untuk membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat seperti berikut: Pertama: Mengadakan seminar, kursus dan bengkel bagi memberi kemahiran dan pengetahuan seperti Pelancaran Minggu Menjana Pendapatan Menggunakan Internet, Program ENiaga, Kursus Membuat Kek dan Roti serta Kursus Refleksologi; Kedua: Memberi bantuan geran untuk membeli peralatan bahan mentah peringkat permulaan bagi petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani dengan pendapatan isi rumah melebihi garis kemiskinan tetapi di bawah 1 ribu ringgit sebulan; Ketiga: Menyediakan pusat setempat untuk membimbing usahawan menjalankan perusahaaan kecil dan sederhana seperti produk makanan, kraftangan, memelihara cacing, ikan hiasan dan ikan keli; Keempat: Menyediakan peluang pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah dan Ahli Isi Rumah miskin untuk bekerja di surau, masjid dan premis-premis di bawah seliaan Agensi-Agensi Kerajaan Negeri; dan Kelima: Sejajar dengan matlamat ini, adalah menjadi harapan saya agar semua Agensi dan Anak Syarikat yang berprestasi tinggi memberi gaji minimum pekerja sejumlah 1 ribu ringgit sebulan. Menambahbaik Kemudahan Awam 15. Kerajaan Negeri akan menambah kemudahan awam seperti tiang lampu dan jalan kampung

[close]

p. 6

di seluruh Negeri Melaka. Kemudahan tiang lampu akan dipasang sebanyak 100 unit di daerah Melaka Tengah, 214 unit di Alor Gajah dan 300 unit di Jasin. Kerajaan Negeri juga akan menambahbaik kemudahan jalan-jalan kampung dengan memohon peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sejumlah 106 juta ringgit iaitu di daerah Melaka Tengah berjumlah 43 juta ringgit, Alor Gajah 25 juta ringgit dan Jasin 38 juta ringgit. STRATEGI KEDUA: MEREALISASIKAN VISI DAN MISI MELAKA MAJU 2010 BERTERASKAN RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Mempergiat Program Kebersihan, Keceriaan dan Lanskap 16. Kebersihan merupakan salah satu elemen penting untuk mencapai status negeri maju. Alhamdulillah, Melaka kini terkenal sebagai negeri terbersih di Malaysia. Ini yang perlu kita kekal dan pertahankan. Semua Pihak Berkuasa Tempatan, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Bandar hendaklah meningkatkan tahap kebersihan serta keceriaan di kawasan persekitaran masing-masing. 17. Bagi menjadikan Melaka terus bersih dan indah, Kerajaan telah mengambil langkah merobohkan 289 unit bangunan usang di seluruh Negeri Melaka. Baki sebanyak 86 unit akan dirobohkan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kerajaan juga akan menaik taraf sistem perparitan dengan kos berjumlah 11 juta ringgit di seluruh Negeri Melaka. Manakala untuk tujuan penyelenggaraan jalan raya, kerja-kerja potong rumput dan pembersihan longkang, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 35 juta ringgit. Memperkasakan Infrastruktur 18. Bagi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan yang mencukupi dan berkualiti, Kerajaan akan membina dan menaik taraf infrastruktur sedia ada. Kerajaan Persekutuan telah menyuntik peruntukan di Negeri Melaka berjumlah 78.6 juta ringgit di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Pertama yang melibatkan 1,526 projek. Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula bernilai 236.8 juta ringgit yang melibatkan 1,554 projek. Ini bertindak sebagai pemangkin aktiviti ekonomi dalam negeri serta merangsang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat. 19. Pada tahun 2010, Kerajaan akan membina dan menaiktaraf infrastruktur di seluruh Negeri Melaka seperti berikut: Pertama: Menaiktaraf rangkaian jalan raya dengan membina jalan baru seperti Jalan Telok Gong di Pengkalan Balak berjumlah 7.4 juta ringgit dan Jalan Botanikal ke Taman Tasik Utama di Ayer Keroh berjumlah 3.4 juta ringgit. Kerajaan Negeri juga akan membina jalan baru dari Taman Ciptaco, Bukit Baru ke Ayer Molek melalui Bukit Katil dan Duyong. Kemudahan ini akan menjadikan Bukit Katil, Duyong dan Ayer Molek sebagai bandar baru. Manakala jalan dari Bukit Katil ke Semabok akan

[close]

p. 7

dinaiktaraf kepada jalan empat lorong. Kedua: Menaiktaraf sistem pengangkutan awam iaitu pemanjangan landasan Lapangan Terbang Batu Berendam bernilai 79.6 juta ringgit, pembinaan aerorail bernilai 500 juta ringgit sejauh 6.8 kilometer dan cabel car (dengan izin), bernilai 40 juta ringgit sedang dibina; Ketiga: Menaiktaraf sistem infrastruktur pengairan dan saliran dengan membina kolam takungan air di Ayer Salak berjumlah 4 juta ringgit dan Mukim Sungai Rambai berjumlah 10 juta ringgit. Ini dapat mengelakkan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Negeri Melaka; Keempat: Membina Kompleks CIQ dan jeti penumpang di muara Sungai Melaka bernilai 45 juta ringgit bertujuan untuk menaiktaraf jeti sedia ada dan mengindahkan Sungai Melaka seterusnya mengembalikan Melaka sebagai bandar pelabuhan dan perdagangan; dan Kelima: Membina hub perikanan di Sungai Duyong berjumlah 40.5 juta ringgit di kawasan seluas 20 ekar. Sebahagian kawasan akan dibina sebagai basin untuk pelabuhan bot yang boleh memuatkan 80 buah inboard boat (dengan izin). Kerajaan juga sedang membina jeti pengkalan Sungai Lereh bernilai 3.3 juta ringgit sepanjang 200 meter. Memajukan Sektor Pertanian dan Penternakan 20. Pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negeri. Kerajaan akan memberi penekanan kepada 5 jenis tanaman utama iaitu: Pertama: Padi akan ditanam seluas 1,170 hektar yang mampu mengeluarkan hasil sebanyak 7,781 metrik tan bernilai 6.2 juta ringgit; Kedua: Pokok mangga delite akan ditanam seluas 1,201 hektar yang mampu mengeluarkan hasil 4,893 metrik tan bernilai 17.4 juta ringgit; Ketiga: Pokok misai kucing akan ditanam seluas 5 hektar yang mampu mengeluarkan hasil bernilai 400 ribu ringgit selepas enam bulan;

[close]

p. 8

Keempat: Pokok kelapa pandan akan ditanam sebanyak 50 ribu pokok yang mampu mengeluarkan hasil bernilai 3.9 juta ringgit selepas empat tahun; dan Kelima: Pokok Melaka akan ditanam sebanyak 10 ribu pokok yang mampu mengeluarkan hasil bernilai 247 ribu ringgit selepas tiga tahun. 21. Di samping penanaman pokok, pelaksanaan 2 aktiviti pemprosesan juga akan dilaksanakan iaitu memproses rambutan menjadi jem dan timun menjadi jus minuman rasmi Melaka. 22. Melaka masih pengeluar terbesar negara menghasilkan telur ayam dan kedua terbesar pengeluaran ayam daging serta susu lembu. Melaka juga sedang berusaha menjadi nombor teratas bagi penternakan kambing dan hasilannya. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Menggalakkan Sektor Perindustrian 23. Kerjasama sektor awam dan swasta akan dipergiatkan dalam usaha menjadikan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negeri. Pelaksanaan projek berimpak tinggi oleh sektor swasta akan dijalankan secara kerjasama dengan Kerajaan. Pada masa ini terdapat 22 buah kawasan perindustrian di seluruh Negeri Melaka. Dari jumlah tersebut, sebanyak 10 buah kawasan industri telah dimajukan oleh Kerajaan Negeri melibatkan kawasan seluas 3,749 ekar. Pihak swasta pula memajukan 7 buah kawasan perindustrian dan 5 buah kawasan dimajukan melalui projek penswastaan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka. 24. Sehingga kini terdapat sebanyak 434 buah kilang yang beroperasi di seluruh kawasan perindustrian yang diwartakan melibatkan guna tenaga seramai lebih 71,000 orang. Dari segi nilai pelaburan pula, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya 3 bilion ringgit setahun nilai pelaburan asing dan tempatan. Pada tahun 2008, pencapaian ternyata amat memberangsangkan di mana nilai pelaburan yang diterima berjumlah 3.6 bilion ringgit, melebihi

[close]

p. 9

dari sasaran yang ditetapkan. Bagi tahun 2009, Kerajaan Negeri telah menerima komitmen yang amat menggalakkan dari para pelabur dan nilai pelaburan dijangka mencecah 4.7 bilion ringgit. 25. Sehingga kini, sumbangan sektor industri dan pembuatan adalah pada kadar 24.8 peratus dan usaha terus digembleng untuk memastikan kadar tersebut mencapai 30 peratus, sebagaimana yang diunjurkan dalam blueprint Melaka Maju 2010. Antara usaha yang dilakukan termasuk memajukan Kawasan Industri Halal Melaka dan Terminal Petro Kimia di Serkam. Sektor ini dijangka membuka banyak peluang pekerjaan dan sekaligus merancakkan kegiatan ekonomi serta meningkatkan tahap kualiti hidup penduduk tempatan. Melaka Sebagai Negeri K-Ekonomi, ICT dan Bioteknologi 26. Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri K-Ekonomi, ICT dan Bioteknologi melalui kreativiti, inovasi dan nilai tambah yang tinggi. Sehubungan itu, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Negeri Melaka telah diwujudkan dengan memfokuskan kepada empat bidang iaitu lampu LED, panel solar, minyak wangi dan penjenamaan produk (branding). 27. Dalam memantapkan bidang ICT, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband (dengan izin), dengan kos berjumlah 20 juta ringgit akan dipohon daripada Kerajaan Persekutuan. Dengan pelaksanaan High Speed Broadband, Melaka yang kini mempunyai perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan rendah antara 1 megabit akan dipercepatkan kepada 10 megabit sesaat. Ini akan menjadikan sistem penyampaian perkhidmatan di Negeri Melaka lebih mesra pengguna, efektif dan pantas. 28. Dalam bidang bioteknologi pula, Makmal Toksikologi telah diwujudkan dengan menawarkan perkhidmatan mengkaji dan menganalisa Non-Good Laboratory Practices seperti Ujian Penentuan Mod Kematian Sel, Ujian Penilaian Kerosakan DNA Sel dan Ujian Mutangenisiti. Makmal ini juga menyediakan perkhidmatan analisis makanan dan bahan kimia kepada usahawan khususnya Industri Kecil dan Sederhana dalam meningkatkan nilai tambah produk yang lebih bermutu.

[close]

p. 10

29. Aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan produk-produk R&D untuk keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa dijangka akan membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri. Memantapkan Kemudahan Sukan dan Belia 30. Sepertimana yang kita maklum, Kerajaan Negeri Melaka telah diberi penghormatan selaku tuan rumah bagi menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-13 pada 10 hingga 19 Jun 2010. SUKMA merupakan temasya sukan yang berprestij bagi mencungkil bakat atlet remaja dan menggalakkan penglibatan secara total dalam sukan yang dipertandingkan. Penganjuran SUKMA secara langsung akan menggalakkan pembinaan kemudahan sukan yang baru serta menaiktaraf kemudahan sukan sedia ada di peringkat daerah atau negeri. 31. Kerajaan akan membelanjakan sejumlah 105.7 juta ringgit bagi membina baru dan menaiktaraf kemudahan sukan untuk temasya tersebut seperti berikut: Pertama: Membina baru padang bola sepak terbuka, kompleks perahu layar, gelanggang lawn bowl, pusat akuatik, pusat equestrian, kompleks squasy dan hotel kompleks sukan. Kedua: Menaiktaraf stadium hoki, lapang sasar menembak, dewan badminton MBMB dan MSN serta dewan bola keranjang. 32. Pada 30 Oktober 2009, Melaka telah diberi pengiktirafan oleh Setiausaha Agung Majlis Pengakap Sedunia sebagai Negeri Pengakap Dunia. Berikutan dengan pengiktirafan tersebut, Melaka World Scout Camp seluas 80 ekar bernilai 20 juta ringgit akan dibina di Lembah Beruk, Serkam. Kemudahan ini akan menjadi kem pengakap bertaraf antarabangsa dan boleh mengadakan jambori pengakap sedunia yang berkapasiti sekurang-kurangnya 20 ribu orang dalam satu masa. 33. Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia Kebangsaan dan Bandaraya Belia Dunia memandangkan pelbagai infrastruktur untuk belia bertaraf antarabangsa telah dibina di Melaka. Ini termasuklah ibu pejabat World Assembly of Youth (WAY), ibu pejabat

[close]

p. 11

Yayasan Belia Sedunia, Muzium Belia, Kem Belia dan Kelab Penerbangan Belia. Justeru itu, kita amat berharap agar Kerajaan Pusat, melalui Kementerian Belia dan Sukan dapat mengiktiraf Melaka sebagai Negeri Belia Kebangsaan. STRATEGI KETIGA: MEMPERKUKUHKAN LAGI MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN TERULUNG; Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 34. Tahun 2009 merupakan tahun pencapaian gemilang Negeri Melaka di dalam sektor pelancongan yang kini telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO. Jika dilihat dari segi sumbangan pendapatan Negeri Melaka pada tahun 2008, sektor perkhidmatan ini merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dengan mencatatkan pendapatan sebanyak 6.5 billion ringgit atau 69.7 peratus daripada pendapatan keseluruhan Negeri Melaka. Kedatangan Pelancong 35. Pada tahun 2008, kita telah menerima kedatangan 7.2 juta pelancong berbanding 6 juta pada tahun 2007 iaitu peningkatan sebanyak 19.6 peratus dengan tempoh bermalam selama 1.9 malam. Sehingga Julai 2009, seramai 4.6 juta pelancong telah datang ke Melaka meningkat 25.5 peratus berbanding 3.7 juta orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2008. Kita yakin pada tahun ini akan dapat mencapai sasaran 7.4 juta pelancong datang ke Melaka dengan tempoh bermalam selama 2.5 malam dengan hasil pendapatan daripada sektor ini sebanyak 4 billion ringgit. Acara Pelancongan dan Program Promosi 36. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet sejumlah 3.5 juta ringgit pada setiap tahun yang mana 61 peratus daripadanya ialah bagi melaksanakan acara dan program promosi pelancongan. Bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke Melaka, acara pelancongan seperti berikut akan dianjurkan: · Melaka International Tourism Show 2010 di Melaka International Trade Centre, Ayer Keroh · Raptor Watch Week 2010 di Tanjung Tuan, Melaka · Festival Gendang Nusantara di Bandaraya Mall

[close]

p. 12

· Pesta Sungai Melaka · SUKMA 2010 · Melaka Tourism Street Carnival di Hang Tuah Mall · Fiesta San Juang di Perkampungan Portugis · Sambutan Ulang Tahun Ke 3 Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di Bandar Hilir; dan · Festival Songket Melaka di Melaka International Trade Centre 37. Pada tahun 2010, program promosi akan diteruskan lagi dengan menganjurkan Festival Pelancongan Melaka 2010 di Kuala Lumpur dan Singapura. Promosi pelancongan ke luar negara akan diteruskan ke beberapa buah negara pasaran utama seperti di Indonesia, Singapura dan China. Bagi promosi untuk pasaran kedua iaitu di Taiwan, Hong Kong dan Vietnam, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi lain akan menyertai misi jualan yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia dan menganjurkan Familiarization Tour untuk agen kembara dan media dari negara-negara pasaran baru seperti dari Jepun, India, Korea Selatan dan Timur Tengah. 38. Promosi ini dilaksanakan melalui market segmentation (dengan izin) agar produk pelancongan melalui 13 sub sektor pelancongan Negeri Melaka yang terdiri daripada Sejarah, Budaya, Rekreasi, Sukan, Membeli-Belah, Konvensyen dan Pameran, Kesihatan, Pendidikan, Pelancongan Agro, Makan-Makan, Melaka Sebagai Rumah Ke-2, Pelancongan Belia serta yang terbaru Melaka Negeri Pelancongan Terbersih, Indah, Warna-warni dan Bercahaya akan dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa. 39. Peranan dan penglibatan sektor swasta amat penting untuk menjamin perkembangan industri pelancongan yang berterusan di Negeri Melaka. Terdapat 53 agen kembara di negeri ini yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Kerajaan Negeri menyeru semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan seperti pengusaha hotel, pemilik produk tarikan pelancong, tempat membeli-belah, premis makanan dan pengusaha pengangkutan hendaklah melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing yang boleh memberi kenangan manis kepada para pelancong. Begitu juga dengan peranan setiap rakyat negeri ini agar sentiasa Think Tourism dan Act Tourism (dengan izin) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelancong. Produk Pelancongan Baru 40. Produk-produk pelancongan baru yang akan diperkenalkan adalah seperti berikut: Pertama : Pembinaan muzium baru seperti Muzium Kapal Selam Quessant di Klebang, Muzium Kapal Cheng Ho, Muzium Coklat, Muzium Malaysia Book of Records, Muzium Pulau Besar, Muzium Kapal Sultan Mansur Shah dan Muzium Penjara; Kedua : Menyediakan kemudahan pengangkutan pelancongan seperti kemudahan buggy mengelilingi Taman Botanikal, memperbaharui bas Panorama dan pelancongan Marin Melaka menaiki Sunset Cruise; dan Ketiga : Menambah empat destinasi pelancongan yang menarik iaitu Island Hopping, Melaka Wonderland Theme Park di Taman Botanikal, Perkampungan Artis

[close]

p. 13

di Melaka Pindah dan Dolphin Theme Park di Pulau Melaka. 41. Kerajaan Negeri yakin produk-produk tersebut dapat menyemarakkan lagi industri pelancongan seterusnya memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri. Ini adalah selaras dengan pengiktirafan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan slogan Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia. STRATEGI KEEMPAT: MEREVOLUSIKAN PENGURUSAN PERKHIDMATAN KERAJAAN UNTUK MENCAPAI PRESTASI PERKHIDMATAN AWAM YANG BERINTEGRITI TINGGI Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 42. Seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan pendekatan petunjuk prestasi utama atau Key Performance Indicator (KPI) sebagai satu paradigma yang akan memacu prestasi dan pencapaian anggota pentadbiran Kerajaan. Ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka. 43. Demi untuk mencapai matlamat KPI tersebut dengan lebih berkesan, Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang meliputi 6 lapangan telah digariskan iaitu mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam. 44. Sesungguhnya semua yang digagas dan dirangkakan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk menjayakan kerangka maksud Gagasan 1Malaysia. Di bawah Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, peranan sebuah perkhidmatan awam yang cekap, berkesan, responsif dan berani berubah adalah amat mustahak. Anggota perkhidmatan awam Negeri Melaka adalah merupakan rakan kongsi utama kepada anggota pentadbiran untuk menunaikan komitmen kita kepada rakyat Melaka dalam memberikan khidmat yang terbaik. Pelaksanaan sistem pengurusan yang berteraskan pengiktirafan perkongsian antara anggota pentadbiran dan penjawat awam merupakan satu-satunya jalan untuk menempa kejayaan pembaharuan yang besar. Penjawat awam perlu dilihat memberi khidmat ‘mesra rakyat’ yang menyenangkan hati rakyat. Kepuasan hati

[close]

p. 14

rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan pentadbiran sektor awam. 45. Penjawat awam Negeri Melaka hendaklah mendepani cabaran ekonomi dengan 3 cabaran jangka pendek iaitu memastikan impak minimun terhadap kesan kegawatan dan ekonomi global, keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan dengan pantas serta membantu rakyat menangani keperitan hidup. Manakala cabaran jangka panjang ialah melakukan pembaharuan dan perubahan struktur ekonomi kepada model baru berteraskan kreativiti dan inovasi. PERUNTUKAN BAJET 2010 Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 46. Bagi melaksanakan empat strategi dan langkah-langkah yang saya bentangkan tadi, Kerajaan mencadangkan sejumlah 375 juta ringgit diperuntukkan bagi bajet 2010. Ini merupakan penambahan 20.1 peratus, berbanding bajet sebanyak 312.3 juta ringgit bagi tahun 2009. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 68.9 juta ringgit adalah bagi emolumen dan 96.8 juta ringgit disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala 1.5 juta ringgit diperuntukkan untuk pembelian aset serta 192.2 juta ringgit bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap. Sejumlah 15.6 juta ringgit disediakan untuk perbelanjaan lain. 47. Bagi peruntukan pembangunan pula diperuntukkan sejumlah 127.4 juta ringgit. Ini adalah untuk menampung keperluan infrastruktur berjumlah 91.8 juta ringgit, pertanian berjumlah 4.6 juta ringgit, perumahan berjumlah 10.5 juta ringgit, sosial berjumlah 12.1 juta ringgit serta pembangunan masyarakat berjumlah 8.4 juta ringgit. 48. Pada tahun 2010, kutipan hasil Kerajaan Negeri Melaka dianggarkan meningkat 20.1 peratus kepada 375.2 juta ringgit berbanding 312.4 juta ringgit pada tahun 2009. 49. Dengan mengambilkira anggaran hasil dan perbelanjaan, Kerajaan Negeri mengekalkan rekod bajet lebihan atau surplus budget (dengan izin) bagi tempoh enam tahun berturut-turut sejak tahun 2005. Bajet lebihan atau Surplus Bajet 2010 berjumlah 0.2 juta ringgit. Dasar bajet surplus ini telah mula dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2005 yang berjumlah 0.4 juta ringgit, tahun 2006 berjumlah 0.8 juta ringgit, tahun 2007 berjumlah 0.6 juta ringgit, tahun 2008 dan tahun 2009 masing-masing berjumlah 0.2 juta ringgit. Ini mencerminkan, Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan dasar perbelanjaan berhemah yang dilakukan dengan teliti, cekap, berkesan, mempunyai value for money (dengan izin), berjimat dan berpegang kepada amalan-amalan terbaik supaya pengurusan kewangan berada pada tahap terkawal dan telus. Justeru itu, kita memperolehi sijil tanpa teguran daripada Ketua Audit Negara ke atas Akaun Awam Kerajaan Negeri Melaka bagi tahun 2008. 50. Bagi menghargai kegigihan dan komitmen penjawat awam dalam memastikan pembangunan negeri tercapai demi kesejahteraan rakyat, bayaran khas kewangan sebanyak 500 ringgit telah diberikan kepada kumpulan sokongan. Sejajar dengan pengumuman YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2010, bayaran khas 500 ringgit ini juga akan dipanjangkan kepada semua penjawat awam Negeri Melaka bagi gred 41 hingga gred 54 dan setaraf dengannya. Bayaran khas ini akan dibayar pada bulan Disember ini. Ia mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri

[close]

p. 15

amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan berharap ia akan digunakan dengan sebaik-baiknya, terutama sebagai persiapan persekolahan anak masingmasing. PENUTUP Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, 51. Bajet 2010 ini merupakan bajet terakhir dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan dan ianya amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh. Bajet ini juga merupakan bajet pertama bagi Melaka Maju 2010 yang hanya tinggal 53 hari lagi. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, tenaga dan fikiran dalam semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, bergerak seiring membangunkan Negeri Melaka yang tercinta ke arah kegemilangan 1Malaysia, Melaka Maju 2010. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Saya mohon mencadangkan.

[close]

Comments

no comments yet