Ucapan Bajet Negeri Melaka 2017

 

Embed or link this publication

Description

ucapan bajet negeri 2017

Popular Pages


p. 1

(1) UCAPAN BAJET NEGERI MELAKA TAHUN 2017 DENGAN TEMA: 'MENJANA PEMBANGUNAN, MENSEJAHTERAKAN RAKYAT' OLEH: YAB DATUK SERI UTAMA Ir. (DR) HJ IDRIS BIN HJ HARON KETUA MENTERI MELAKA KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2017) 2016 PADA ISNIN, 24 OKTOBER 2016 DEWAN UNDANGAN NEGERI ----------------------------------------------------------------------------------------

[close]

p. 2

(2) Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau, Melaka 754 Tahun, Melaka Maju Fasa Ke-2. YB Datuk Wira Speaker, Saya mohon mencadangkan supaya rang Undang-undang bertajuk “Suatu Enakmen Perbekalan (2017) 2016 untuk membolehkan kegunaan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi maksud perbelanjaan pengurusan tahun 2017”dibaca bagi kali kedua. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat; Mukadimah 1. Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi yang cerlang dan penuh barakah ini, saya diberi kelapangan waktu serta sihat tubuh badan untuk membentangkan satu dokumen penting yang terkandung di dalamnya perancangan dan peruntukan pembangunan negeri bagi tahun 2017.

[close]

p. 3

(3) 2. Sesungguhnya bajet ini merupakan bajet keempat saya sejak menerajui tampuk pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri Melaka ke-10. 3. Saya percaya, dengan adanya barisan kepimpinan negeri yang cekap dan berdedikasi, yang sentiasa menjulang integriti, Melaka akan terus melakar kejayaan dalam babak kedua Melaka Maju Fasa Ke-2. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat; 4. Kita diingatkan Allah SWT dalam Surah Sabaa Ayat 39: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia juga menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah jua sebaik-baik pemberi rezeki” (Surah Sabaa Ayat 39). 5. Maka mengambil iktibar daripada ayat ini dalam konteks yang lebih luas, kerajaan akan terus berusaha memastikan hasil negeri berada di tahap yang terbaik demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

[close]

p. 4

(4) 6. Kerajaan percaya, sekiranya kita tabah dan sabar dalam menghadapi apa jua situasi ekonomi yang melanda, sesungguhnya Allah SWT pasti akan membuka jalan, memberi kelapangan dan menghilangkan kesulitan, asal sahaja kita terus berusaha dan bertawakal. 7. Bajet 2017 yang bertemakan “Menjana Pembangunan, Mensejahterakan Rakyat” dilihat sebagai penanda aras kepada hala tuju Melaka merealisasi hasrat dan matlamat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). 8. Fokus utama adalah ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat, menggiatkan sektor pelancongan negeri, menjadikan Melaka perintis pembangunan hijau negara serta memperkasa integriti dalam tadbir urus kerajaan. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat; Tahniah TYT Tun 9. Dalam merencana pembangunan Melaka, kita bersyukur kerana sentiasa dibantu rapat dan dinaungi oleh Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang diPertua Negeri. 10. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya menzahirkan ucapan terima kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

[close]

p. 5

(5) kerana berkenan melantik semula Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal keempat mulai 26 Mei 2016 lalu. 11. Sesungguhnya kita bertuah berada di bawah naungan dan kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun sejak 12 tahun lalu. Segala pengalaman, idea, pandangan dan nasihat dicurah kepada negeri dan rakyat Melaka tanpa ragu sehingga banyak kejayaan diraih. 12. Tidak hairanlah banyak organisasi atau badan NGO yang terinspirasi dengan kewibawaan Tun serta mengiktiraf kebijaksanaan beliau dengan pelbagai anugerah. Pada 29 September 2016, Tun telah dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Kepimpinan (Honorary Doctorate of Leadership) dari Universiti Lim Kok Wing. Kami tumpang gembira dan mengucapkan setinggi tahniah. 13. Sempena sambutan Hari Jadi rasmi Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri yang ke-78, saya dan seluruh rakyat Melaka juga ingin mengambil kesempatan di dewan yang mulia ini mengucapkan dirgahayu, dirgahayu, dirgahayu Tuan Yang Terutama Tun. 14. Kami berdoa semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga dirahmati dan dimurahkan rezeki serta terus berada di bawah perlindungan Allah SWT sentiasa.

[close]

p. 6

(6) Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Belasungkawa Tan Sri Abdul Aziz Tapa 15. Tanggal 4 Oktober 2016, rakyat Malaysia khususnya negeri Melaka kehilangan seorang tokoh politik, budayawan dan pendidik bangsa yang sangat dikagumi serta dihormati. Beliau ialah Tan Sri Haji Abdul Aziz bin Tapa (1923-2016). Ketika hayatnya, beliau adalah mantan Ahli Dewan Negara tahun 1975 - 1977. Beliau pernah menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Nyalas tahun 1978 - 1982 dan dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka pada penggal yang sama. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tahun 1982-1986. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham yang telah menumpah taat setia pada negara dan parti sehingga akhir hayatnya. Alfatihah. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Kejayaan dan Pengiktirafan 16. Tahun ini menyaksikan Negeri Melaka melakar pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan. Syabas dan tahniah kepada para penjawat awam kerana kesungguhan membantu mencipta rantaian pengiktirafan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

[close]

p. 7

(7) 17. Mahkamah Syariah Melaka telah memenangi Anugerah Emas di International Convention On Qc Circles (ICQCC 2016) Bangkok, Thailand pada 23 - 26 Ogos 2016 melalui ciptaan mereka “Two Easy” projek. 18. Jabatan Mufti Melaka Johan bagi Kategori Produk dalam Pertandingan Anugerah Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2016 manakala Johan Kategori Perkhidmatan jatuh kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). 19. Atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan yang saya gelar The Speddy Jantan telah memecah rekod kebangsaan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dalam acara 100 meter dengan catatan masa 10.18 saat. 20. Atlet kurang upaya atau disable athlete pula berjaya membawa pulang 14 pingat emas, 17 perak dan 13 gangsa di sukan paralimpiad Malaysia, Sarawak. Krishna Kumar, atlet paralimpik Melaka terpilih mewakili negara di sukan paralimpik Rio, Brazil. 21. Paling membanggakan anak jati Melaka, Goh Liu Ying adalah pemain beregu campuran badminton yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio lalu. 22. Kita bersyukur kerana pada musim ini, pasukan Melaka United berjaya menempah tempat dalam Liga Perdana dan telah disahkan sebagai juara liga pada 22 Oktober lalu sekali gus melayakkan Melaka United beraksi di Liga Super musim depan.

[close]

p. 8

(8) 23. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya akan menerima anugerah International Green World Awards 2016 for Carbon Management Within Hang Tuah Jaya Municipal Council di Bucheon, Korea Selatan pada 28 Oktober 2016 dan Anugerah International Green Apple Award 2016 For Planning and Development of Green City Hang Tuah Jaya di London pada 11 November 2016. Tahniah dan syabas. 24. Negeri Melaka juga semakin mendapat perhatian apabila banyak acara bertaraf antarabangsa dianjur di sini bermula dengan Persidangan Bandar Berdaya Tahan Asia Pasifik atau Resilient Cities Asia-Pasific (RCAP) pada 2-4 Mac 2016 dan Persidangan Antarabangsa Bandaraya Asia Mencegah Dadah kali ke-7 (ASCAD) dari 9-13 Oktober 2016.Tahun hadapan, kita dipilih sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Urban Environmental Accords (UEA) Melaka Summit dari 7 September hingga 9 September 2017. 25. Kita juga telah mencipta rekod The Malaysia Book Of Record kerana menganjurkan Kempen Anti Dadah besar-besaran yang dihadiri sejumlah 1,448 orang sempena Persidangan Antarabangsa Bandaraya Asia mencegah dadah kali ke-7. 26. Kerajaan Negeri turut diberi penghormatan sebagai hos Hari Audit 1Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam Jabatan Audit Negara pada 22 Ogos 2016 dan Persidangan Teknikal Tahunan Percukaian "Association or Tax Authorities Of Islamic Country' (ATAIC) yang disertai 28 buah negara Islam dunia pada 26-30 September 2016.

[close]

p. 9

(9) Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; 27. Saya petik kata-kata Benjamin Franklin :‘He that can have patience can have what he will’. Saya percaya semua pengiktirafan dan kejayaan ini membuktikan bahawa ‘di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan’. Syabas dan tahniah kepada barisan pentadbiran negeri serta para penjawat awam. 28. Sesungguhnya benarlah sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 269: “Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 269).

[close]

p. 10

(10) Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Senario Ekonomi Negeri 29. Kerajaan pada hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan dan matahari dalam memacu kemajuannya kerana untuk apa mencoret lukisan yang tampak molek dan anggun jika sekadar lakaran semata tanpa makna. Sebagai kerajaan people`s centric, kita membuka pelbagai ruang menyelesai permasalahan rakyat dan memenuhi kehendak serta keperluan mereka. Kerajaan sedaya upaya memastikan ekonomi negara terus berkembang meski dalam persekitaran global dan iklim politik yang kurang menentu. 30. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sederhana iaitu 4.0 peratus pada suku tahun kedua 2016 berbanding 4.2 peratus pada suku tahun pertama. Sektor perkhidmatan terus menjadi pemangkin utama dengan sumbangan 53.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diikuti dengan sektor pembuatan iaitu 23 peratus. Ekonomi Melaka 31. Ekonomi Melaka mencatat pertumbuhan yang baik terutama pada sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan anggaran pertumbuhan KDNK 2016 sekitar 5.5 peratus. Sektor perkhidmatan terus unggul sebagai penyumbang utama iaitu 45.6 peratus diikuti sektor pembuatan sebanyak 40.9 peratus.

[close]

p. 11

(11) 32. Kadar Pengangguran bagi suku kedua 2016 adalah pada paras 1.0 peratus berbanding 3.4 peratus di peringkat nasional. Angka ini adalah terendah berbanding negeri lain di Malaysia. Kadar inflasi pula berada pada paras sederhana iaitu 2.3 peratus bagi Negeri Melaka dan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Ogos 2016. 33. Pendapatan per kapita Melaka tahun 2015 iaitu 39,853.00 ringgit adalah keempat tertinggi di Malaysia melebihi pendapatan per kapita di peringkat nasional iaitu 37,104.00 ringgit dan mensasarkan 48,000.00 ringgit menjelang 2020 dengan KDNK tumbuh sebanyak 7%. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Pelaburan 34. Bagi memperkukuh ekonomi negara, kerajaan telah merangka pelbagai strategi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik. Sehingga Mac 2016, nilai pelaburan yang diluluskan Lembaga Pelaburan Industri Malaysia (MIDA) di peringkat nasional ialah sejumlah 19.62 bilion ringgit atau bersamaan 368 buah projek dengan pelaburan asing 12.54 bilion ringgit dan domestik 7.08 bilion ringgit. 35. Negeri Melaka turut menerima 855.79 juta ringgit pelaburan sehingga Mac 2016 dengan pelaburan asing dan domestik masingmasing berjumlah 590.97 juta ringgit dan 264.82 juta ringgit. Kerajaan negeri mensasarkan 5.0 bilion ringgit nilai pelaburan

[close]

p. 12

(12) setiap tahun bagi merancakkan lagi sektor perindustrian di negeri ini. 36. Pelaburan berasaskan industri berteknologi tinggi amat digalakkan dalam memperkasa sektor perindustrian mencapai kedudukan teratas. Sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang lebih 80 peratus pada KDNK Negeri merangkumi sub sektor industri, pelancongan, perbankan dan perhotelan. 37. Sehingga kini terdapat 24 kawasan perindustrian di seluruh negeri dengan 13 kawasan dimajukan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan 11 kawasan lagi oleh pihak swasta. 38. Kewujudan zon perindustrian telah membantu pertumbuhan sektor perkilangan. Sebanyak 433 kilang telah diasaskan di Melaka dengan 237 buah milik pelabur tempatan manakala 196 buah dimiliki oleh pelabur asing. Daripada jumlah di atas, 52 buah kilang atau 12.6 peratus adalah berasaskan produk makanan. Kewujudan kilang ini telah menyediakan 86,100 peluang pekerjaan. 39. Manifestasi kejayaan melalui misi galakan pelaburan memperlihatkan beberapa pelabur besar mula menunjukkan minat. Syarikat tenaga iaitu Edra Energy Sdn. Bhd. (EDRA) telah bersetuju melabur 4 billion ringgit bagi membina stesen jana kuasa dan talian penghantaran tenaga elektrik baharu di Telok Gong, Alor Gajah ke pencawang elektrik di Bahau, Negeri Sembilan.

[close]

p. 13

(13) 40. Begitu juga dengan Syarikat Xinyi Glass dari China dengan pelaburan bernilai 3.2 bilion ringgit untuk aktiviti mengeksport produk kaca berkualiti tinggi. 41. Pelabur dari Nanning, China juga menunjukkan minat khusus dalam industri kayu gaharu. Para pelabur dari Wilayah Guangxi berhasrat mewujudkan Pusat Pertukaran Komuniti Gaharu di Melaka sekali gus menjadi aktiviti pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Negeri Melaka juga akan bertindak sebagai pusat latihan dan pengoperasian industri kayu gaharu. Yang Berhormat Datuk Wira Speaker; Ahli-Ahli Yang Berhormat; Hubungan Melaka - Guangdong 42. Hubungan dua hala antara Melaka-Guangdong dilihat mampu memberi quantum leap dan mencetus perubahan struktural dalam ekonomi negeri. Empat perkara teras yang diberi fokus selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persahabatan Melaka-Guangdong yang disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 21 September 2015, ialah penerbangan terus GuangzhouMelaka dari lapangan terbang antarabangsa Baiyun, pembangunan pelabuhan laut dalam sebagai sebahagian inisiatif kemudahan maritime abad ke-21, mewujudkan pusat sehenti untuk mempromosi produk Melaka berasaskan kebudayaan dan warisan serta produk bermutu buatan Malaysia di Zhuhai, China serta pembangunan kawasan Perindustrian Melaka-Guangdong.

[close]

p. 14

(14) Pembangunan Melaka Gateway 43. Lanjutan daripada Misi Galakan Pelaburan Kerajaan Negeri ke Guangzhou pada Mac lalu, pihak Guandong Development Reform Committee (GDRC) telah mengadakan lawatan kerja ke negeri Melaka pada bulan Mei bagi membentangkan cadangan pelan pembangunan Taman Industri Maritim (Maritime Industrial Park) di atas tanah seluas 750 ekar. 44. Kerajaan negeri bersyukur kerana pada 19 Oktober 2016, hasrat Melaka merealisasi projek pelabuhan laut dalam bakal terlaksana dengan perasmian peletakan batu asas pelabuhan Melaka Gateway (Pulau Panjang) di Pulau Melaka East 1 (PME 1) di Pulau Melaka. Ini sekali gus menjadikan Melaka sebagai pusat tumpuan utama dalam industri maritime dunia. 45. Projek pembangunan International Cruise Terminal akan bermula pada penghujung tahun 2016 dan dijangka beroperasi pada tahun 2018. Projek ini merupakan inisiatif pelaburan Amerika Syarikat manakala pelabur dari Hong Kong akan melaksanakan projek perhotelan Hyatt Place Residence. 46. Syarikat Powerchina International Group Limited (Powerchina) bersetuju melabur sejumlah 30 billion ringgit untuk projek Melaka Gateway membabitkan tiga pulau buatan. Pulau keempat akan dibangunkan sebagai terminal kontena, pusat pembinaan dan baik pulih kapal secara kerjasama di antara KAJD, Powerchina dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI). Kerajaan Negeri melalui PKNM juga akan mewujudkan hub Industri Melaka

[close]

p. 15

(15) Guangdong di Lipat Kajang di atas tanah seluas 6,000 ekar untuk pembangunan pelbagai industri. 47. Sesungguhnya benarlah sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 47-49 bahawa kitaran atau turun naik semula jadi ekonomi di antara tempoh pengembangan (pertumbuhan) dan penguncupan (kemelesetan) akan pasti berlaku dalam dunia hari ini sepertimana yang berlaku di zaman Nabi Yusof: Maksudnya: “Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.” (47). “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” (48) "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (surah yusuf, ayat 47 - 49).

[close]

Comments

no comments yet