Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2016

 

Embed or link this publication

Description

Teks pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2016

Popular Pages


p. 1

PENGUMUMAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) TAHUN 2016 oleh YBHG. PROF. DATO’ SERI DR. MOHAMED MUSTAFA ISHAK PENGERUSI MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA NAIB CANSELOR UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera, Salam Sehati Sejiwa, dan Salam Satu Malaysia 1. Sukacita saya memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan STPM 2016 akan dikeluarkan pada hari ini, Selasa, 28 Februari 2017. Calon sekolah kerajaan dan sekolah swasta boleh mendapatkan slip keputusan di sekolah masing-masing pada jam 12:00 tengah hari ini, manakala calon persendirian akan mendapat slip keputusan mereka melalui pos. Di samping itu, semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui portal MPM [www.mpm.edu.my] dan juga melalui SMS (sistem mesej singkat) di talian 15888. 2. Calon STPM 2016 merupakan kohort keempat dalam sistem pentaksiran baharu STPM (Modular) yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sejak diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012 bagi 1

[close]

p. 2

menggantikan peperiksaan STPM Terminal yang telah dikendalikan sejak tahun 1982. 3. Peperiksaan bertulis dijalankan pada tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun. Calon dibenarkan untuk memperbaiki keputusan peperiksaan bertulis Penggal 1 dan Penggal 2 dengan mengambil peperiksaan Ulangan bertulis bagi penggal tersebut pada bulan November. 4. Dalam sistem pentaksiran STPM terdapat juga Kerja Kursus dalam bentuk Kertas Projek, Kerja Lapangan, dan Amali Sains yang perlu dijalani oleh calon (bergantung kepada penawaran dalam mata pelajaran masing-masing) dan dinilai oleh guru sekolah dengan wajaran 20 peratus hingga 40 peratus. Jumlah mata pelajaran yang ditawarkan untuk STPM 2016 adalah sebanyak 22 mata pelajaran dengan 19 mata pelajaran menawarkan Kerja Kursus. 5. Peperiksaan bertulis Penggal 1 STPM 2016 telah dijalankan pada 17 hingga 24 November 2015, Penggal 2 pada 18 hingga 24 Mei 2016, dan Penggal 3 pada 7 hingga 14 November 2016. Peperiksaan Ulangan Penggal 1 pula telah diadakan pada 15 hingga 21 November 2016 dan Ulangan Penggal 2 pada 22 hingga 29 November 2016 yang lalu. Bilangan Calon 6. Bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2016 telah mencatatkan peningkatan berbanding STPM 2

[close]

p. 3

2015, iaitu daripada 45,515 kepada 47,122 calon, meningkat sebanyak 3.53 peratus (1,607 calon). Daripada jumlah calon yang mendaftar ini 43,235 calon (91.75 peratus) telah hadir. 7. Daripada jumlah yang hadir ini, 42,845 calon (99.10 peratus) daripadanya adalah calon Sekolah Kerajaan manakala baki yang lain adalah terdiri daripada calon sekolah swasta sebanyak 264 calon (0.61 peratus), calon persendirian individu sebanyak 114 calon (0.26 peratus), dan calon Sekolah Kerajaan Negeri sebanyak 12 calon (0.03 peratus). Bilangan Calon Mengikut Jantina, Aliran, dan Kaum 8. Bilangan calon perempuan yang menduduki peperiksaan STPM 2016 masih mengatasi bilangan calon lelaki dengan nisbah 2:1. Sebanyak 29,854 calon (69.05 peratus) yang hadir adalah calon perempuan manakala baki 13,381 (30.95 peratus) adalah calon lelaki. 9. Dari segi aliran pula, bilangan calon aliran Sains Sosial adalah sebanyak 37,033 calon (85.66 peratus) manakala 6,202 calon (14.34 peratus) adalah calon aliran Sains. 10. Daripada 43,235 calon yang hadir, kaum Bumiputera sebanyak 29,614 calon (68.50 peratus), kaum Cina sebanyak 9,660 calon (22.34 peratus), kaum India sebanyak 2,321 calon (5.37 peratus), dan lain-lain kaum sebanyak 1,640 calon (3.79 peratus). 11. Dalam peperiksaan STPM 2016, 3,624 calon (7.69 peratus) telah mendaftar untuk lima mata pelajaran dan 43,440 calon (92.19 3

[close]

p. 4

peratus) telah mendaftar untuk empat mata pelajaran. Bagi calon yang mendaftar lima mata pelajaran, sebanyak 3,310 calon (91.34 peratus) telah hadir. Manakala bagi calon yang telah mendaftar empat mata pelajaran, 39,911 calon (91.88 peratus) telah hadir. Hal ini menjadikan daripada 43,235 calon yang hadir dalam STPM 2016, 7.66 peratus mengambil lima mata pelajaran dan 92.31 peratus mengambil empat mata pelajaran. 12. Mata pelajaran Pengajian Am adalah mata pelajaran yang mempunyai bilangan calon terdaftar yang tertinggi, iaitu sebanyak 47,100 calon (berbanding 47,122 yang mendaftar. Ini kerana terdapat 22 calon yang tidak mendaftar Pengajian Am), diikuti sembilan mata pelajaran lain yang mempunyai bilangan calon terdaftar yang banyak yang melebihi 5,000 orang (sembilan mata pelajaran), iaitu mata pelajaran (a) Bahasa Melayu (29,719 calon), (b) Sejarah (24,228 calon), (c) Pengajian Perniagaan (17,821 calon), (d) Ekonomi (14,629 calon), (e) Geografi (12,801 calon), (f) Seni Visual (7,675 calon), (g) Mathematics T (6,513 calon), (h) Chemistry (6,382 calon), dan (i) Kesusasteraan Melayu Komunikatif (6,178 calon). 4

[close]

p. 5

13. Mata pelajaran lain yang mempunyai bilangan terdaftar yang kurang daripada 5,000 calon (12 mata pelajaran) pula adalah mata pelajaran (a) Biology (3,782 calon), (b) Physics (2,796 calon), (c) Sains Sukan (2,646 calon), (d) Perakaunan (2,567 calon), (e) Syariah (2,069 calon), (f) Bahasa Arab (1,620 calon), (g) Usuluddin (1,069 calon), (h) Mathematics M (1,027 calon), (i) Information and Communications Technology (492 calon), (j) Bahasa Tamil (479 calon), (k) Bahasa Cina (325 calon), dan (l) Literature in English (79 calon). PENETAPAN STANDARD 14. Penetapan standard STPM dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dengan dinasihati dan dipantau oleh Cambridge International Examinations (CIE), England. Nasihat dan pemantauan secara berterusan dari CIE adalah bertujuan mengekalkan standard yang telah dilaksanakan semenjak STPM 1982. Pengiktirafan dari CIE ini terzahir di belakang Sijil STPM. Wakil dari CIE, England yang hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan STPM 2016 kali ini 5

[close]

p. 6

ialah Mr. Mark Dowling, Consultant of CIE. Berikut adalah sedikit petikan daripada laporan daripada Mr. Mark Dowling tentang mesyuarat tersebut: “The declared objective was to maintain the standard of each STPM subject by determining ‘the lowest mark for which the performance of the current year can be deemed equivalent to that achieved by candidates at the lowest mark for the same grade the previous year’. The meetings were conducted in the familiar efficient way, using the excellent Excel spreadsheets which enabled us to see readily the effect of alternative thresholds. Files of evidence followed a standard template of information which is very clear.” (Mark Dowling, Consultant of CIE) PENCAPAIAN KESELURUHAN CALON 15. Sukacita saya, sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia memaklumkan bahawa secara keseluruhannya pencapaian calon dalam peperiksaan STPM 2016 telah terus meningkat dalam kesemua kriteria pengukuran pencapaian calon. Peningkatan ini juga mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada tahun 2013. Peningkatan peperiksaan STPM 2016 berbanding dengan STPM 2015 terlihat pada (a) Peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK), (b) peningkatan pada PNGK 4.00, (c) peningkatan pada PNGK 3.00 ke atas, 6

[close]

p. 7

(d) peningkatan pada PNGK 2.75 ke atas, (e) peningkatan calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran, dan (f) peningkatan pada lulus penuh. 16. PNGK Nasional telah mencatatkan peningkatan dari 2.65 dalam peperiksaan STPM 2015 kepada 2.71 dalam peperiksaan STPM 2016. PNGK calon Sekolah Kerajaan juga didapati mengatasi PNGK Nasional, iaitu 2.72. 17. Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 (Four Flat) daripada keseluruhan calon yang hadir dalam peperiksaan STPM 2016 telah bertambah, iaitu daripada 335 calon (0.80 peratus) kepada 565 calon (1.31 peratus), iaitu meningkat sebanyak 230 calon dengan perbezaan peratus sebanyak 0.51 peratus berbanding dengan tahun 2015. 18. Bilangan dan peratusan calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas, juga telah mencatat pertambahan bilangan calon, iaitu bertambah kepada 16,263 calon (37.62 peratus) pada tahun 2016 berbanding tahun 2015 sebanyak 14,263 calon (33.97 peratus). 19. Begitu juga halnya dengan bilangan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas, juga telah mencatatkan peningkatan, iaitu daripada 20,359 calon (48.49 peratus) dalam peperiksaan STPM 2015 kepada 22,407 calon (51.83 peratus) daripada bilangan calon yang hadir dalam peperiksaan STPM 2016. 7

[close]

p. 8

20. Dengan peningkatan peratusan dan bilangan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas dan 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2016 untuk diterima masuk ke Universiti Awam (UA) adalah lebih besar. PNGK Pencapaian Calon Mengikut Aliran dan Jantina 21. PNGK Nasional calon aliran Sains adalah 2.73 mengatasi calon aliran Sains Sosial, iaitu 2.71. Walau bagaimanapun, PNGK calon bagi kedua-dua aliran telah menunjukkan jumlah peningkatan yang sama, iaitu sebanyak 0.07 mata berbanding PNGK tahun 2015. 22. Dari segi analisis pencapaian PNGK calon mengikut aliran yang mendapat PNGK 4.00 pula, daripada 565 calon yang mendapat PNGK 4.00, bilangan calon aliran Sains Sosial yang mendapat PNGK 4.00 adalah sebanyak 419 calon manakala bilangan calon Sains yang mendapat PNGK 4.00 adalah 146 calon. 23. Dari segi pencapaian PNGK mengikut jantina pula, pencapaian calon perempuan seperti biasa telah mendahului calon lelaki, calon perempuan telah mendapat PNGK 2.75 berbanding calon lelaki yang mendapat PNGK 2.64. Walau bagaimanapun, dari segi peningkatan pencapaian PNGK, kedua-dua jantina telah menunjukkan peningkatan dalam PNGK berbanding tahun lepas. PNGK Calon Mengikut Lokasi Bandar Dan Luar Bandar 24. Perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar dalam peperiksaan STPM 2016 adalah sangat kecil, 8

[close]

p. 9

iaitu hanya 0.03 mata sahaja. Pencapaian PNGK calon bandar adalah 2.75 menakala PNGK calon luar bandar adalah 2.66. 25. Jika dibandingkan jurang antara tahun 2016 dan 2015, didapati jurang perbezaan PNGK antara bandar dan luar bandar sedikit mengembang, iaitu daripada 0.06 dalam STPM 2015 kepada 0.09 dalam STPM 2016, perbezaan sebanyak 0.03 mata sahaja. 26. Namun demikian, kedua-dua calon dari bandar dan luar bandar telah menunjukkan peningkatan pada PNGK 3.50 hingga 4.00. Calon luar bandar yang mendapat PNGK 3.50 hingga 4.00 telah menunjukkan peningkatan daripada 1,327 calon (8.07 peratus) kepada 1,952 calon (11.36 peratus). Pertambahan drastik telah berlaku pada bilangan calon luar bandar yang mendapat PNGK 4.00 dengan peratusan peningkatan lebih sekali ganda atau 148.33%, iaitu daripada 60 calon pada tahun 2015 kepada 149 calon pada tahun 2016. 27. Dari segi pencapaian calon bandar dan luar bandar mengikut aliran, pencapaian calon bandar masih mengatasi calon luar bandar dalam kedua-dua aliran. Dalam aliran Sains Sosial, PNGK calon bandar adalah 2.75 manakala PNGK calon luar bandar adalah 2.67. Begitu juga dalam aliran Sains, PNGK calon bandar adalah 2.75 berbanding calon luar bandar 2.56. Walau bagaimanapun, analisis mendapati PNGK calon luar bandar dalam kedua-dua aliran telah menunjukkan peningkatan berbanding STPM tahun sebelum, iaitu daripada 2.61 kepada 2.67 dalam aliran Sains Sosial dan 2.53 kepada 2.56 dalam aliran Sains. 9

[close]

p. 10

PENINGKATAN CALON YANG MENDAPAT 5A DAN 4A 28. Dalam peperiksaan STPM 2016, 11 calon telah mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil manakala bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran tetapi mendapat 4A juga didapati bertambah daripada 27 calon kepada 47 calon dalam peperiksaan STPM 2016 berbanding dalam peperiksaan STPM 2015. 29. Bilangan calon yang mendapat 4A dalam keempat-empat mata pelajaran juga telah bertambah kepada 517 calon (1.20 peratus) dalam peperiksaan STPM 2016 berbanding 302 calon pada peperiksaan STPM tahun sebelum. Ini menjadikan bilangan keseluruhan calon yang mendapat 5A dan 4A dalam peperiksaan STPM 2016 telah meningkat daripada 339 calon (0.81 peratus) kepada 575 calon (1.33 peratus). PENCAPAIAN CALON MENGIKUT KELULUSAN LULUS PENUH (PERINGKAT PRINSIPAL) 30. Dalam peperiksaan STPM, lulus penuh adalah dari gred C ke atas, lulus sebahagian adalah antara gred D ke gred C─, dan gagal adalah pada gred F. 31. Untuk mengukur pencapaian keseluruhan calon STPM berdasarkan kelulusan lulus penuh dalam mata pelajaran, lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah diambil kira. Seperti yang telah dimaklumkan, Bahagian Kemasukan Pelajar (BKP), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi telah menetapkan syarat bahawa dalam suatu peperiksaan STPM, 10

[close]

p. 11

lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran sahaja termasuk mata pelajaran Pengajian Am akan dipertimbangkan untuk memasuki Universiti Awam. 32. Dalam peperiksaan STPM 2016, didapati peratusan dan bilangan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat kepada 31,079 calon (71.88 peratus) berbanding dengan pencapaian lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran tahun sebelum, iaitu sebanyak 29,028 calon (69.14 peratus). 33. Lulus penuh dalam empat mata pelajaran telah mendapat peratusan tertinggi dalam peperiksaan STPM 2016, iaitu sebanyak 67.69 peratus atau 29,266 calon berbanding sebanyak 65.52 peratus atau 27,510 calon dalam peperiksaan tahun sebelumnya. 34. Calon Sekolah Kerajaan telah mencatatkan bilangan dan peratusan tertinggi yang mendapat lulus penuh pada lima dan empat mata pelajaran berbanding dengan calon sekolah swasta dan calon persendirian individu dengan masing-masing sebanyak 30,892 calon (71.45 peratus), 179 calon (0.41 peratus), dan 8 calon (0.02 peratus). 35. Calon Sekolah Kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam 1 hingga 5 mata pelajaran juga telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan peperiksaan tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 0.88 peratus, iaitu daripada 40,629 (96.77 peratus) kepada 42,220 calon (97.65 peratus). 11

[close]

p. 12

36. Peningkatan peratusan lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga memberikan gambaran bahawa pencapaian calon tingkatan enam di sekolah-sekolah kerajaan kini telah semakin baik, dipercayai hasil daripada Transformasi Tingkatan Enam yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. 37. Peningkatan pencapaian calon ini juga adalah hasil intervensi kepada guru tingkatan enam yang telah dilaksanakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dan Bahagian-Bahagian yang berkenaan di Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Dasar Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri khususnya Sektor Penilaian dan Peperiksaan dan Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pendidikan Daerah, dan pihak sekolah sendiri. PRESTASI MATA PELAJARAN 38. Secara keseluruhannya, kesemua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2016 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 65%, iaitu gred C dan ke atas. 39. Dalam peperiksaan STPM 2016, enam mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada tahun sebelumnya yang melebihi 3.00 peratus berbanding peperiksaan STPM 2015, iaitu mata pelajaran Literature in English, Information and Communications Technology, Mathematics M, Perakaunan, Ekonomi, dan Sains Sukan. Manakala 16 mata pelajaran lain selain daripada mata pelajaran yang disebut di atas tidak berubah prestasinya. 12

[close]

p. 13

Prestasi Gred A Mata Pelajaran 40. Dalam peperiksaan STPM 2016, semua mata pelajaran mempunyai gred A. Sebanyak 21 mata pelajaran telah mencapai peratusan bilangan calon yang melebihi 5% pada gred A dan satu sahaja mata pelajaran yang mempunyai bilangan gred A yang kurang daripada 5%, iaitu mata pelajaran Bahasa Tamil. PRESTASI DAN ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG 41. Prestasi sekolah diukur berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), iaitu jumlah PNGK semua calon bagi sesebuah sekolah dibahagikan dengan bilangan calon yang mempunyai PNGK di sekolah tersebut. Min PNGK Sekolah Kerajaan pada tahun 2016 telah meningkat kepada 2.72, berbanding 2.65 pada tahun 2015. 42. Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah yang mempunyai GPS tertinggi dengan bilangan calon yang tidak kurang daripada 40 orang, Majlis Peperiksaan Malaysia akan memberikan sijil penghargaan kepada 10 Sekolah Kerajaan yang mendapat GPS terbaik dalam STPM 2016. ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG 43. Dalam peperiksaan STPM 2016, Majlis Peperiksaan Malaysia telah memilih 14 calon terbaik daripada 565 calon yang mendapat PNGK 4.00 untuk diberikan Anugerah Pelajar Cemerlang. 14 calon terbaik ini masing-masing 7 calon dari bandar dan luar bandar. 13

[close]

p. 14

44. Majlis Peperiksaan Malaysia juga telah memilih tiga calon istimewa yang cemerlang yang mendapat PNGK 3.50 ke atas dalam peperiksaan STPM 2016 untuk diberikan penghargaan dan ganjaran khas sebagai menghargai usaha mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dalam keadaan jerih-perih. 45. Bagi menyokong dasar Kementerian Pendidikan Malaysia terhadap pendidikan untuk murid Orang Asli, iaitu memastikan Orang Asli diberi peluang untuk mendapatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan relevan, Majlis Peperiksaan Malaysia meneruskan lagi pemberian penghargaan dan anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2014. Pada tahun ini, seorang pelajar orang asli yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM 2016 akan menerima penghargaan dan anugerah daripada Majlis Peperiksaan Malaysia. 46. Selain itu, sukacita saya memaklumkan bahawa pada majlis ini, seperti pada tahun-tahun yang lepas, Majlis Peperiksaan Malaysia juga telah memilih calon cemerlang yang mendapat Band 6 (highly proficient user) dalam Malaysian University English Test (MUET) pada tahun 2016, iaitu seorang daripada setiap sesi MUET 2016 akan diberikan anugerah cemerlang. 47. Sebagai menghargai pencapaian pelajar cemerlang di atas, Majlis Peperiksaan Malaysia akan memberikan ganjaran wang sebanyak RM1,000, sijil penghargaan, dan sebuah plak kepada setiap pelajar. 14

[close]

p. 15

PENUTUP 48. Sukacita saya memaklumkan bahawa pelajar cemerlang dan sekolah terbaik dalam peperiksaan STPM 2016 itu akan diraikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia yang akan bersama-sama kita sebentar lagi selepas ini. Kesudian Yang Berhormat Menteri hadir meraikan mereka menunjukkan keprihatinan Yang Berhormat terhadap kejayaan pelajar dalam peperiksaan STPM. Semua dijemput hadir. 49. Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam peperiksaan STPM 2016 dan MUET 2016, khususnya kepada pelajar dan sekolah yang terpilih untuk menerima anugerah dalam majlis ini. Tidak lupa sekalung syabas kepada ibu bapa atau penjaga dan guru kepada para pelajar cemerlang ini. 50. Bagi yang tidak dijemput menghadiri majlis penganugerahan pelajar cemerlang dan sekolah terbaik kali ini bukanlah bermakna mereka tidak berjaya dan tidak dihargai. Saya menganggap penghargaan kepada kejayaan mereka akan diwakili oleh mereka yang dijemput. 51. Bagi pelajar dan sekolah yang masih belum menunjukkan kejayaan memberangsangkan diharap tidak putus asa. Cuba lagi dalam peperiksaan yang akan datang. Kepada calon yang akan menduduki STPM pada tahun ini, diharapkan kejayaan calon STPM 2016 pada hari ini dapat dijadikan semangat dan motivasi untuk mencapai keputusan yang lebih baik lagi. 15

[close]

Comments

no comments yet